Monday 2 October 2017

KSPK

PENDAHULUAN
Pendidikan prasekolah merupakan pengalaman awal yang penting dalam dunia pendidikan. Pengalaman persekolahan dan pembelajaran yang berkesan, bermakna dan menyeronokkan dapat membekalkan murid dengan kemahiran, keyakinan diri dan sikap yang positif untuk pembelajaran yang seterusnya. Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) adalah wadah utama yang menjadi panduan guru dalam mendukung hasrat mulia negara bagi menyediakan pendidikan prasekolah bertaraf dunia kepada generasi masa kini dan akan datang. KSPK digubal berdasarkan prinsip amalan bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak dan teori pembelajaran kanakkanak. Kandungan KSPK adalah berasaskan enam tunjang iaitu Tunjang Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai; Kemanusiaan; Perkembangan Fizikal dan Estetika; Sains dan Teknologi; dan Keterampilan Diri.  Antara perkara yang diberi penekanan dalam pengubalan KSPK ialah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang dinyatakan secara eksplisit dalam penulisan Standard Pembelajaran. Guru perlu menterjemah Standard Pembelajaran dalam p&p di bilik darjah dengan penekanan kepada KBAT. Perincian dalam dokumen ini diharap dapat membantu guru merancang dan melaksanakan p&p secara berkesan. Aktiviti yang dirancang perlu memberi pengalaman yang menyuburkan dan menyeronokkan, melibatkan murid secara aktif serta selamat. Guru digalak menggunakan kreativiti untuk memilih, menyusun, mengolah dan mempelbagai aktiviti berpandukan Standard Pembelajaran mengikut kesesuaian murid. Adalah diharapkan guru akan menghayati dan melaksanakan kehendak-kehendak sebagaimana yang terkandung dalam kurikulum ini agar matlamat dan objektif yang telah ditetapkan akan tercapai. Kandungan yang dipelajari di peringkat prasekolah pada asasnya merupakan pengetahuan dan kemahiran asas yang diperlukan murid sebagai persediaan untuk mengikuti pendidikan di peringkat sekolah rendah kelak.

MATLAMAT
Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan bertujuan memperkembangkan potensi murid berumur empat hingga enam tahun secara menyeluruh dan bersepadu dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial melalui persekitaran pembelajaran yang selamat dan menyuburkan serta aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan, kreatif dan bermakna. Ini adalah untuk meningkatkan kemahiran, menanam keyakinan dan membentuk konsep kendiri yang positif pada diri murid agar mereka bersedia untuk menghadapi cabaran dan mengikuti pembelajaran seterusnya.

OBJEKTIF
Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan menyediakan peluang kepada murid untuk mencapai objektif seperti yang berikut:

1. Menggunakan bahasa untuk berkomunikasi dengan berkesan.
2. Mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian untuk murid beragama Islam.
3. Mengamalkan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia.
4. Menghargai dan peka terhadap budaya masyarakat Malaysia.
5. Menyayangi dan menghargai alam sekitar.
6. Memperkembangkan konsep kendiri yang positif dan keyakinan diri.
7. Mempraktikkan amalan kesihatan, membina kecergasan badan dan menjaga keselamatan diri.
8. Mengembangkan daya kreatif dan estetika.
9. Mengaplikasikan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif serta kemahiran menyelesaikan masalah dalam pembelajaran dan kehidupan seharian.

KERANGKA KURIKULUM STANDARD PRASEKOLAH KEBANGSAAN
Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan dibina berasaskan enam tunjang, iaitu Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai; Kemanusiaan; Keterampilan Diri; Perkembangan Fizikal dan Estetika; serta Sains dan Teknologi. Enam tunjang tersebut merupakan domain utama yang menyokong antara satu sama lain dan disepadukan dengan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif. Kesepaduan ini bertujuan membangunkan modal insan yang menghayati nilai-nilai murni berteraskan keagamaan, berpengetahuan, berketerampilan, berpemikiran kritis dan kreatif serta inovatif


  • Sains dan teknologi- Pengetahuan sains, kemahiran dan sikap saintifik.

                                          - Pengetahuan dan kemahiran matematik


  • Perkembangan fizikal dan estetika- Perkembangan jasmani dan kesihatan untuk kesejahteraan diri.
                                                                 -  Pemupukan daya imaginasi, kreativiti, bakat, dan apresiasi


  • Keterampilan diri- Pemupukan keterampilan dan sahsiah diri melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum.

  • Kemanusiaan- Pendedahan ilmu dan amalan tentang kemasyarakatan dan alam sekitar
                                - Penghayatan semangat patriotisme dan perpaduan

  • Kerohanian- Penghayatan amalan agama, kepercayaan, sikap dan nilai

  • Komunikasi- Pendedahan kemahiran berbahasa secara lisan dan bukan lisan secara berinteraksi










No comments:

Post a Comment